Assalamualaikum.
Kali ini, buat kesekian kalinya ana menulis(baca:menaip) kalam
dalam blog ini setelah 3 bulan setengah(kot?) ana membiarkan blog ini tanpa
mengisi dengan pengisian rohani dan rencana ringkas khas daripada ana
sendiri.
Tajuk kali ini berkenaan mencapai cinta? Kenapa mencapai cinta?
Kenapa tidak memilih mencapai baju ke? Atau ana memilih tajuk berkenaan
'couple' ke? Ini kerana lambakan 'post' dalam facebook sahabat ana berkenaan
cinta. Seringkali kita mentafsirkan cinta hanyalah kepada insan yang berlainan
jantina dan kita berkenan untuk meluahkan kasih sayang kepadanya.
Adakah itu sebenarnya CINTA?
APA SEBENAR YANG DIKATAKAN CINTA?
Cinta Sesama Insan
Sukar sebenarnya untuk
menghuraikan apa sebenarnya yang dikatakan cinta. Cinta itu sendiri adalah
istilah yang terlalu abstrak untuk digambarkan. Lain orang lain maksud. Lain
insan lain interpretasi berkenaan cinta. Adapun yang dikatakan cinta sesama
insan kerana ana lihat muda-mudi menggunakan zina sebagai manifestasi terhadap
cinta mereka. Allahu Rabbi... Sesungguhnya cinta itu sekadar wasilah untuk
manusia yang terlibat menuju neraka yang tidak terbayang azab siksa yang pedih.
Usahkan jalan tar yang panas terik dek jilatan haba matahari yang jaraknya
berbatu-batu jauh dari bumi, inikan neraka yang digambarkan siksaannya terlebih
dahsyat! Allah! Asthagfirullah! Selamatkan kami Ya Allah daripada azab siksa
pedih tidak terkira!
Menurut ana, cinta sesama insan ini
ditujukan kepada mereka yang menjalinkan cinta menurut Islam. Ana tercari-cari
sebenarnya... Apapun ana rasa al-Quran ada jawapannya. Ana cuba bertanyakan
al-Quran dan al-Quran berkata: “ ..Sesungguhnya orang-orang
beriman dan beramal soleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam
hati mereka kasih sayang ”
(Maryam: 96)
Jadi kalimat Wudda disini
(bermakna kasih sayang) diberikan Allah sebagai hadiah atas keimanan, amal
soleh manusia. Tambahan dalam surah Ar-Rum ayat 21 “ Dan diantara tanda-tanda
kekuasaanNya ialah ia menciptakan untukmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung merasa tenteram kepadanya, dan
dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat
tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Apa yang kita faham
daripada ayat Allah Yang Maha Mengetahui akan segala permasalahan, inikan
berkenaan hamba yang diciptanya adalah dalam bentuk satu gambaran seperti ini:
|
INDAHNYA CINTA MENURUT ISLAM |
Kamu tidak mengetahui
siapa jodoh kamu, lalu kamu istikharah meminta petunjuk dari Allah, lalu Allah
kurniakan kamu petunjuk dan kamu bulatkan tekad lalu kamu meminang. Yang
dipinang juga beristikharah selepas dipinang, lalu jika dia pun mendapat
petunjuk dan bulatkan tekad, lalu menerima pinangan kamu. Langsung kamu
bernikah. Dalam perkahwinan tersebut, kamu hadapi ujian yang menguji kekuatan
dan kesetiaan perkahwinan kamu. Namun, kamu juga menikmati perkahwinan kamu
dengan rasa kasih dan sayang bahkan cenderung merasa tenteram. Itulah
perkahwinan yang diberkati Allah. Bermula dengan baik dan berakhir dengan
baik.
Adakah cinta kamu berhenti
setakat hembusan nafas terakhir? TIDAK! Bahkan cinta kamu membawa kamu menuju
syurga yang kekal abadi. Di sana kamu menikmati cinta kamu selama-lamanya!
|
MAKA NIKMAT MANA YANG MAHU KAMU DUSTAKAN? |
Adapun begitu, ana
merasakan tidak adil jika tidak mengaitkan cinta yang sebenarnya iaitu cinta
kepada pemilik cinta sebenar iaitu Allah 'Azza Wa Jalla.
CINTA KEPADA PEMILIK
SEGALA CINTA
Pada satu musim haji,
beberapa orang ahli sufi telah berkumpul di Mekkah termasuk Abu Bakar
Al-Kattani dan Al-Junaid Al-Bagdadi. Waktu itu Junaid masih lagi muda tetapi
merupakan ahli sufi, yang demikian beliau merupakan kalangan ahli sufi yang
termuda di dalam majlis
tersebut.
Mereka sedang membahaskan konsep cinta kepada
Allah khususnya menurut ahli sufi. Masing-masing mengemukakan pendapat
masing-masing di dalam majlis tersebut. Setelah itu mereka yang lain merasa
ingin mendengar pula pendapat ahli sufi muda ini
dalam hal tersebut.
"Sila kemukakan pendapatmu wahai pemuda
Iraq." kata mereka kepada Al-Junaid. Maka tertunduklah kepala Al-Junaid
dan bersertalah air matanya mengalir dipipinya yang kemudian mengangkat kembali
kepalanya seraya berkata,
"Orang yang asyik Cinta kepada Allah ialah orang yang membebaskan dirinya dari segala
nafsunya, dan sebagai akibat daripada itu, dia hanya menyibukkan dirinya berzikir kepada Allah subhanahu wa
ta`ala. Dia sentiasa melaksanakan segala
tugas-tugas yang Allah suruhkan kepadanya, dia melihat kebesaran Allah dengan mata hatinya. Nur Allah dan
kebesaran-Nya menguasai dan menghiasi seluruh jiwanya, sehingga kosong hatinya
dari apa saja melainkan Allah. Dia telah minum air cinta yang jernih
daripada-Nya. Tersingkaplah segala Hijab sehingga jelas baginya. Maka jika ia
bercakap, dia tidak bercakap melainkan bersama Allah. Dari mulutnya tidak keluar satu perkataan melainkan Allah. Demikian jua
jika ia bergerak, maka gerak itu atas perintah Allah, dan jika ia mendiamkan
diri, dia bersama Allah. Pokoknya segala apa saja gerakan, perkataan dan
fikirannya hanyalah kerana Allah dan bersama Allah."
|
SEMOGA DENGAN BERZIKIR KITA SENANTIASA MENGINGATINYA... INSYA-ALLAH! |
Mendengar keterangan yang sangat menakjubkan itu,
maka menangislah kesemua ahli sufi yang hadir dan syeikh yang hadir, lalu
berkata "Tidak ada penjelasan yang lebih baik dan terang selain itu."
Mereka tersangat kagum kepada Junaid kerana masih terlalu muda dan berupaya
mengeluarkan perkataan itu. "Semoga Allah tetap membimbingmu wahai mahkota
kerohanian," kata mereka lagi.
Firman Allah kepada Nabi Daud;
"HambaKu yang aku cintai adalah mereka yang
mencari Aku, bukan kerana takutkan hukumanKu atau hendakkan kurniaanKu, tetapi
semata-mata Aku ini Tuhan"
"Tidak beriman seorang kamu sebelum Allah dan
Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain." (Bukhari &
Muslim)
Tersebut dalam Kitab Zabur:
"Siapakah yang lebih zalim daripada orang
yang beribadah kepadaKu kerana syurga atau neraka, kalaulah Aku tidak
menciptakan syurga atau neraka, apakah aku tidak layak untuk
ditaati?"
Abu Sulaiman berkata;
"Siapa yang hari ini (ketika hidup) sibuk
dengan dirinya, maka dia itu nanti (setelah mati) akan sibuklah dengan dirinya
sendiri. Siapa hari ini sibuk dengan Tuhannya, maka dia itu esok akan sibuk
juga dengan Tuahnnya."
Wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Isa a.s.;
"Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati
hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta
pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari 'cintaKu' (padanya)."
Kata Junaid;
"Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan
bersungguh-sungguh dengan kerinduan.
Antara bukti kecintaan hamba kepada Khaliq:
1. Cinta untuk bertemu Tuhannya
2. Membanyakkan sujud
3. Sanggup mencari syahid dan berjuang di jalan
Allah
4. Tidak akan berbuat maksiat
5. Cinta untuk berzikir kepada-Nya
6. Cinta kepada Al Quran
7. Rajin bertahajjud
8. Berasa nikmat apabila mentaati perintah-Nya dan
menjauhi larangan-Nya
9. Tidak terpengaruh dengan celaan orang.
10. Takut- iaitu takut pada tempatnya.
11. Menyembunyikan kecintaan.
|
KITA LEBIH BANYAK MENGHABISKAN MASA KITA DENGAN KUBUR BERBANDING KATIL... Renung2xkanlah! |
Namun ana percaya kita
mesti ingin menguji sebenar-benarnya cinta sebenar kita kepada Allah berada
berada di maqam yang mana satu.
INi antara cara atau
ujian mudah kita kenalpasti yang ana temui dalam blog-blog di sekitar
pasar-pasar alam maya.
Ujian pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci
kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya.
Nabi Muhammad saw bersabda;
"Siapa yang ingin melihat Allah,
Allah ingin melihat dia."Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah
berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat
persediaan untuk pulang ke akhirat, tetapi jika betul-betul ikhlas adia
akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.
Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia
mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya
menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan
dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah
bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak
menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin Iyadh seorang wali
Allah berkata kepada seorang lelaki;
"Jika sesiapa bertanya kepada mu
samada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu
kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan
jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu
berlawanan dengan katamu."
Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah
itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan
benar, kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat.
Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya
itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak
mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada
menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu
perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.
Ujian keempat kemudian menunjukkan
adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada
Al-Quran, iaitu Kalam Allah, dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul
Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia akan cinta kepada semua
orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah. Bahkan cintanya meliputi
semua makhluk, kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu
tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan
cintanya juga kepada tulisan atau karangannya.
Ujian kelima ialah ia suka duduk
bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar
dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu.
Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu
menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada Nabi Daud,
"Janganlah terlampau karib dengan
manusia, kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu:
iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila
mereka mendapat ganjaran itu; dan mereka yang mementingkan diri mereka
sendiri lalu melampaui aku. Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan
mereka begitu sahaja."
Yang keenam ialah ibadatnya
menjadi senang sekali. Seorang Wali Allah ada berkata,
"Dalam tiga puluh tahun yang
pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali, tetapi
tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada
saya." Apabila cinta kepada Allah itu sempuna, maka tidak ada
kesoronokan yang setandimg dengan keseronokan ibadat.
Yang ketujuh ialah orang yang
cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan
mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada
Allah.
Selamat Beramal!