Kisah di IMTIAZ KB (1)
"Alamak kita dah lambat untuk pergi solat berjemaah Maghrib ni Faizal!"
Aku dan Faizal terus lari sembunyi belakang tangki Indah Water. Aku rela pilih sembunyi di sini daripada kena rotan dengan Cikgu Mokhtar. Aku baru teringat ada seorang sahabat yang rela ke surau walaupun dia bakal dirotan oleh Cikgu Mokhtar kerana lambat ke surau dalam masa yang ditetapkan.
"Macam mana ni? Budak tu mungkin dedah pasal kita sembunyi kat belakang asrama ni," soal Faizal. Aku tidak membalas pertanyaan tersebut melainkan mencari jalan untuk melepaskan diri daripada ditangkap oleh Cikgu Mokhtar yang amat garang dan terlalu menakutkan kami selaku penghuni asrama KIST.
Kami terdengar bunyi yang menakutkan di sebalik pagar berhampiran tempat persembunyian kami. Bunyi seolah-olah ada sesuatu yang berlari-lari sekitar semak tepi pagar besi asrama kami. Kata Faizal, itu bunyi babi hutan yang berada berdekatan asrama kami. Aku menarik nafas lega. Ingatkan hantu, rupanya babi hutan hampir menakutkan kami.
Nun jauh dari kawasan persembunyian kami, aku ternampak lembaga seolah-olah berlari. Ya Allah, benda apa pula yang mari kali ini? Rupa-rupanya sahabat kami yang menyerah diri tadi bertemu dan berkata, " Cikgu Mokhtar ingin bertemu dengan kamu berdua."
Aku dah agak! Apa yang boleh buat? Warden dah tahu, terpaksalah kami berjumpa Cikgu Mokhtar di depan sahabat yang lain. Aku redha je kena rotan depan sahabat lain. Cikgu Mokhtar sememangnya warden yang berjaya mengkantoikan aktiviti kami yang bertentangan dengan peraturan asrama termasuklah majalah Kreko yang aku beli masa 'outing' asrama.
Itulah antara kisah yang aku masih teringat sewaktu aku menimba sedikit ilmu di Kolej Islam Sains Terengganu (KIST).
*Sekarang ni, nama KIST telah ditukarkan kepada imtiaz KB setelah kerajaan BN berjaya menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu.